Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah S.A.W dan keluarganya.
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Moga semuanya sihat dan segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Setelah sekian lama Nad tidak menghantar pasukan choral speaking ke mana-mana pertandingan, tahun 2023 Nad hantar juga. Kali terakhir menyertai pertandingan choral speaking rasanya pada tahun 2015. Bukanlah tidak mahu menyertai selepas 2015 tapi atas beberapa kekangan seperti sekolah sudah bertukar ke aliran tahfiz dan waktu persekolahan pula tamat lewat petang, jadi Nad membuat keputusan untuk tidak menyertai pertadingan tersebut lagi. Kudrat Nad tidak cukup hendak melatih peserta.
Alhamdulillah. Tahun ini sesi persekolahan tamat awal iaitu pukul 3.00 petang, jadi Nad ada masa hendak bersama-sama murid untuk berlatih choral speaking. Bukan senang tau hendak melatih ramai murid tambahan pula semuanya murid lelaki yang rata-ratanya pemalu dan tidak pernah masuk apa-apa pertandingan.
Asalnya setelah tarikh tutup pendaftaran dan cabut undi, ada 5 buah sekolah sahaja yang akan bertanding. Hadiah pula ada tempat pertama hingga kelima. Jadi Nad yakin yang pasukan choral speaking 'High on Victory' akan mendapat sekurang-kurangnya tempat kelima.
Apakan daya, kalau sudah bukan namanya rezeki. Ibaratnya kita sudah pegang air teh tarik dan hampir hendak menyedut air tersebut tapi terjatuh. Macam itulah apa yang terjadi pada hari pertandingan.
Nad kesal sangat bila pihak penganjur yang berentitikan Islam sendiri melanggar peraturan yang dicipta mereka. Bagi Nad sangat tidak adil kerana penganjur membenarkan sebuah pasukan masuk di saat akhir dan sesi cabutan undi telah dijalankan.
Bila Nad sampai ke tempat pertandingan dan setelah meredah hujan lebat bersama murid-murid, retak hati ini bila tahu ada 6 pasukan yang akan bertanding. Pengetua sendiri kata kepada Nad, kalau masuk mesti hendak menang. Lagilah Nad tertekan. Siapa suka kalahkan?
Tidak mengapalah. Mungkin usaha Nad dan murid-murid tidak cukup. Kecewa itu jangan ceritalah. 5 hari pun masih belum move on. Kecewakan harapan pengetua dan murid-murid.
Bila juruacara sendiri (sesi penyampaian hadiah di malam hari) tidak tahu yang ada bahasa lain selain Bahasa Arab masuk, lagilah sedih. Iyalah, nama pertandingan pun Kalam Jamaie. Pastilah semua orang anggap Bahasa Arab.
Apa-apa pun, moga ada ibrah yang peserta dapat sepanjang tempoh latihan dan pertandingan.
Walaupun ada sedikit ketidaklancaran semasa persembahan, Nad tetap bangga dengan mereka kerana mereka berjaya memecah tembok malu dan tidak yakin dengan diri sendiri. Kita usaha lagi. Tahun ini rasanya Nad tidak sempat hendak melatih pasukan choral speaking untuk peringkat daerah, mungkin tahun depan. Nad tidak mahir hendak membuat choral speaking text sebenarnya.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, sebenarnya Nad sudah menangis selepas merasakan tiada harapan untuk menang dan malam itu juga menangis tidak sudah. Esoknya pula ada Majlis Graduasi. Memang bengkak mata Nad pagi itu. Mood memang sudah ke laut dalam.
Mujur ada buku 'SayangNya Dia Kepadaku' oleh Sajida Zulkafli. Betullah, bila kita sedih kenalah luahkan kepada Allah SWT. Setiap rasa sedih itu perlu kita validate dan cari cara untuk sembuh supaya tidak menjadi trauma.
Lega sedikit setelah tamat membaca buku ini.
Sebelum Nad mulakan pembacaan buku ini, Nad merasakan diri ini tidak berguna langsung. Masuk apa sahaja pertandingan tidak pernah menang. Antara puncanya juga ialah Nad suka memberi peluang kepada murid yang ada potensi tapi tidak pernah dipilih untuk bertanding. Ibu Nad kata,
Kalau kau nak menang kenalah cari budak yang pandai dan boleh menang.
Tapi Nad tidak suka macam itu. Kalau asyik pilih yang memang yang boleh menang, macam mana murid lain yang ada potensi juga? Tapi itulah natijah yang perlu Nad hadapi. Setiap hujung tahun, Nad tidak akan mencapai KPI yang disasarkan dan Nad rasa tiada pencapaian penting sepanjang tempoh berkhidmat. Maka, markah SKT pun rendah berbanding orang lain. Masuklah pertandingan kajian tindakan sekali pun tidak akan dipandang. Pencapaian murid tidak ada.
Ah, banyak pula merapu.
Jadi, buku ini dibaca pada saat yang tepat. Nad boleh terima apa yang berlaku dan moga ada hikmahnya. Selepas ini, tidak perlu berharap sangat untuk menang atau apa. Asalkan murid dapat pengalaman.
Untuk sembuh 100% daripada apa yang dilalui sejak awal berkhidmat sebagai seorang pendidik masihlah belum lagi tapi sekurang-kurangnya pengalaman mendewasakan diri.
Dalam post yang lain, Nad akan ulas buku 'SayangNya Dia Kepadaku'.
Moga berjumpa lagi!
P/S: Dek teruja hendak bertanding, sampai birthday suami pun terlupa.