Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah S.A.W dan keluarganya.
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Dalam post kali ini Nad hendak berkongsikan sebuah buku yang wajib dibaca oleh semua orang iaitu 'Berdamai Dengan Depresi' oleh...
Nad beli buku ini semasa di PBAKL 2023 dan pada awalnya Nad tidak bercadang pun hendak beli buku ini sampailah dua hari sebelum pergi ke PBAKL, ada satu video salah seorang penulis iaitu Mimi Musa naik di FYP Tik Tok Nad.
Nad tertarik dengan perkongsian penulis dan Nad katakan kepada diri Nad, aku mesti beli buku ini.
Bila sudah sampai di PWTC, Nad sebenarnya sudah pun terlupa hendak mencari reruai Stesen Buku dek kepenatan meredah lautan manusia dan duit dalam akaun makin menyusut.
Alhamdulillah. Bagai diatur oleh Allah SWT. Sedang Nad berhenti berehat sebentar dengan anak, Nad ternampak penulis di reruai Stesen Buku. Apa lagi, cepat-cepat Nad dapatkan buku 'Damai Dengan Depresi' dan ambil tanda tangan para penulis yang ada.
Panjang pula mengurai kenangan.
Antara sebab utama kenapa anda kena baca buku ini ialah supaya kita faham perasaan dan situasi pesakit atau pejuang sakit mental.
Bila Nad tamatkan pembacaan buku ini, Nad dapati kebanyakan penghidap depresi atau masalah mental ini sebenarnya tidak sedar yang diri dia sakit. Kadangkala mereka di dalam fasa denial. Mungkin juga anda yang membaca post ini berada dalam situasi yang sama seperti mereka.
Penerimaan orang sekeliling dan bagaimana layanan orang terhadap pesakit mental sangat memainkan peranan agar mereka dapat sembuh.
Masyarakat Malaysia khususnya masih tidak biasa dan peka dengan keadaan pesakit mental. Biasanya kita dimomok-momokkan kalau sakit mental mesti gila.
Sebab itulah ramai yang takut hendak membuat ujian kesihatan mental. Termasuklah Nad sendiri walaupun Nad telah disuruh pergi berjumpa dengan kaunselor KPM dan Nad telah mendapat surat daripada doktor untuk pergi ke hospital tapi Nad takut. Stigma masyarakat tentang masalah mental sangat kuat. Jadi, Nad abaikan sahaja.
Buku ini memberi banyak info berguna kepada pembaca agar kita lebih berempati dengan pesakit mental dan tahu bagaimana hendak berkomunikasi dengan mereka.
Salah seorang penulis buku ini iaitu Dr Rozanizam Zakaria memberi panduan tentang bagaimana ayat-ayat Al-Quran membantu untuk kita berdamai dengan depresi dan sembuh dan apa yang perlu dilakukan untuk mereka dan kita sendiri bangun daripada kemurungan.
Sesungguhnya, mereka ini memerlukan sokongan daripada kita semua. Mungkin juga kita sebenarnya menghadapi masalah seperti mereka? Cuma kita tidak didiagnosis oleh pakar sahaja lagi.
Apa-apa pun buku 'Damai Dengan Depresi' sangat membuka mata dan minda Nad dan Nad pasti anda pun akan lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh pejuang sakit mental.
Nad beri 5⭐ untuk buku ini kerana info yang disampaikan merupakan ilmu baru buat Nad.
Anda boleh dapatkan buku ini di sini.
P/S: Bila Nad baca buku ini Nad teringatkan arwah Kak Awie yang menghadapi masalah bipolar. disorder Masa itu Nad muda lagi dan tidak tahu tentang sakit mental ini. Setiap kali arwah kena bipolar, kasihan sangat tapi semua tidak tahu bagaimana hendak membantu. Andai kata Nad tahu dan lebih berilmu, pasti Nad tahu bagaimana hendak berkomunikasi dengan arwah Kak Awie. Al-Fatihah untuk Kak Awie.

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
" />